
SHAH ALAM: Polis mengesahkan kes warga asing maut dilanggar tren komuter api di Stesen Komuter Klang, semalam tiada sebarang unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 daripada pemandu tren itu pada 7.22 pagi dan siasatan mendapati kejadian berlaku pada 6.38 pagi ketika komuter berkenaan dari Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim.
“Apabila sampai di kilometer 34.734 arah utara, tiba-tiba pengadu terdengar bunyi dentuman yang kuat seperti terlanggar sesuatu, dan terdapat kebocoran gas pada sistem tren yang menyebabkan ia berhenti dan tidak dapat meneruskan perjalanan.
“Pengadu membuat pemeriksaan dan menjumpai mayat lelaki di bawah gerabak keempat dan terus menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Cha berkata, warga asing itu berumur 45 tahun, dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian namun putus kaki kanan.
“Setakat ini polis mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), dengan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan dilanggar tren,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.