KUALA LUMPUR: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menyebabkan penurunan drastik pencapaian murid dalam Ujian Kemasukan Ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM) terutama pelajar luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah.
Sehubungan itu Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki amat bersetuju untuk UPSR yang dimansuhkan mulai 2021 dikembalikan.
Beliau berkata perlu ada sistem penilaian berpusat dan terselaras supaya dapat mengukur keupayaan sebenar murid sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.
“Pengalaman di MARA, apabila UPSR dimansuhkan, dapat lihat penurunan drastik pencapaian UKKM iaitu Ujian Kemasukan ke MRSM terutamanya bagi pelajar-pelajar luar bandar dan yang berpendapatan rendah.
“UPSR kaedah lama, kecemerlangan tidak terhad kepada akademik sahaja”
“Sebab itulah apabila saya diamanahkan menjadi Pengerusi MARA, saya cuba melakukan intervensi membantu dengan mengadakan bengkel khas dan tuisyen percuma kepada pelajar luar bandar melalui Yayasan Pelajaran MARA bagi memastikan pelajar miskin dan daif luar bandar juga berupaya menjawab UKKM dengan baik dan berjaya masuk ke MRSM.
“Saya percaya ramai guru-guru dan yang terlibat langsung dengan sistem pendidikan negara bersependapat dengan saya. Betul tak?,” katanya di Facebook rasminya malam tadi.
Asyraf Wajdi berkata, beliau yakin Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) boleh membaca dan menganalisa pandangan guru, ibu bapa dan orang ramai yang memberikan ulasan di laman sosial beliau itu.
“Semuanya amat bermanfaat dan punya hujah, asas pandangan yang bernas untuk dipertimbangkan,” katanya.
Semalam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M).
Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, perbincangan bersama KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini menyedari isu 3M adalah antara punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
“Saya mengadakan perbincangan dengan (Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri) Dr Zambry Abdul Kadir dan Kementerian Pendidikan (bagi mengenal pasti punca) dan kebanyakannya tidak boleh membaca, menulis dan mengira.
“Wajib, dasar pendidikan yang tidak ada peperiksaan Tahun 6 dan Tingkatan 3 mesti ‘di-revamp’ (dirombak),” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-78, di sini, semalam.
Kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun sama.
Media pada 28 April 2021 melaporkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin ketika itu berkata, keputusan memansuhkan UPSR dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan pada 2020 akibat COVID-19.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.