PEFALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, malam tadi sebagai perkembangan positif bagi Kerajaan Perpaduan dalam memastikan agenda pembangunan dan ekonomi rakyat dapat terus dijayakan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua calon PH, Suhaizan Kayat dan Nazri Abdul Rahman atas kemenangan mempertahankan kerusi kawasan berkenaan.

“Penghargaan saya buat semua pengundi yang yakin terhadap usaha Kerajaan Perpaduan dalam membangun negara,” kata Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.
Suhaizan yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, mempertahankan penguasaan PH bagi kerusi Parlimen Pulau apabila meraih majoriti besar 48,283 undi, menyingkirkan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 29,642 undi, manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi, hanya mendapat 528 undi.
PH turut mengekalkan kerusi DUN Simpang Jeram apabila Nazri memperolehi 13,844 undi menewaskan calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya yang mendapat 10,330 undi dan calon Bebas, S Jegananthan, meraih 311 undi.