comscore
Tumpuan :
Nasional

Kementerian Alam Sekitar dijenamakan semula

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dijenamakan semula kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (MEWA) selepas dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam satu kenyataan berkata penjenamaan itu selaras dengan keputusan kerajaan untuk meletakkan tanggungjawab pengurusan air negara kepada kementerian berkenaan, yang turut bertanggungjawab dalam pelestarian alam sekitar.

“Pewujudan MEWA akan membolehkan sinergi antara dua aspek pengurusan air yang selama ini terpisah, iaitu sumber air dan perkhidmatan air.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertanggungjawab terhadap sumber air, sementara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertanggungjawab mengawal selia perkhidmatan air yang membabitkan bekalan air dan pembetungan.

“Kedua-dua fungsi ini disepadukan bawah MEWA bagi memantapkan ekosistem tadbir urus air di negara ini bagi memastikan sumber dan bekalan air yang mencukupi dan berkekalan. Kementerian juga akan mengintegrasikan sektor alam sekitar dan air,” katanya.

Loading...
Terkini