KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengulas sama ada tindakan akan diambil terhadap pihak yang didakwa menyunting video temubual Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Richard Quest daripada CNN baru-baru ini.
“Tentang tindakan yang akan diambil mereka yang sunting video tersebut, saya rasa lebih sesuai dijawab oleh pihak PDRM,” kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Afnan Hamimi yang mahukan penjelasan daripada Kementerian Komunikasi sama ada kerajaan mahu mengambil tindakan kepada pihak yang menyunting video temubual Perdana Menteri bersama CNN itu.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menyatakan klip video tular di media sosial memaparkan wawancara Anwar bersama CNN seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel, disunting pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran buruk kepada Perdana Menteri.
Fahmi berkata, klip video terbabit tidak menggambarkan keseluruhan wawancara berkenaan, sedangkan pendirian Malaysia kekal tidak mengiktiraf negara haram berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.