comscore
Tumpuan :
Nasional

Kementerian Luar pandang serius rakyat Malaysia seludup emas ke Bangladesh

Bangunan KLN di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Kementerian Luar (KLN) memberi perhatian serius dan memantau rapat kes membabitkan rakyat Malaysia menyeludup emas ke Bangladesh.

Kementerian itu dalam satu kenyataan malam ini mengesahkan telah menerima memorandum daripada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang memohon kerajaan Malaysia untuk membantu tiga warganegara Malaysia yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup (maksimum 30 tahun) atas kesalahan menyeludup 45 kilogram emas ke Bangladesh pada 2015.

Ketiga-tiga mereka telah melalui proses mahkamah dan dijatuhkan hukuman pada 2018.

Selain mereka, terdapat tiga lagi warganegara Malaysia yang sedang menjalani hukuman penjara di Bangladesh atas kesalahan yang sama, menurut kenyataan itu.

Kesalahan penyeludupan emas di Bangladesh adalah kesalahan berat yang boleh dikenakan hukuman mati.

“Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh telah mengadakan siri-siri pertemuan dengan tahanan warganegara Malaysia tersebut untuk menghulurkan bantuan konsular dan mengadakan perbincangan dengan pihak peguam yang dilantik dalam usaha membantu mereka sewajarnya.

“Selain itu, pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dalam mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkuasa Bangladesh termasuk melalui pertemuan peringkat tinggi dengan pihak kerajaan negara itu ke arah membantu serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kes ini,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut menasihatkan warganegara Malaysia yang berada di negara asing untuk sentiasa peka dan menghormati undang-undang negara berkenaan serta tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini