comscore
Tumpuan :
Nasional

Kementerian Perladangan dan Komoditi teliti isu cukai keuntungan luar biasa

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan ucapan pada Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2024 di Kuala Lumpur. Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi akan meneliti isu levi keuntungan luar biasa yang dibangkitkan oleh penggiat industri dan mengadakan perundingan dengan pihak berkaitan, kata Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata ia susulan kebimbangan mereka berikutan kenaikan kos kepada hampir RM3,000 setiap tan.

Ketika ini, levi yang dikenakan adalah pada kadar tiga peratus ke atas harga minyak sawit yang melebihi RM3,000 per tan di Semanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 per tan di Sabah dan Sarawak.​​

“Dulu kos adalah antara RM1,500 dan RM1,800, kini melonjak kepada RM2,800 hingga RM3,000, malah lebih tinggi di kawasan tertentu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024 di sini hari ini.

Katanya, memandangkan kos semasa yang meningkat, pelarasan tertentu dilakukan perlu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendengar penerangan daripada Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (kanan) ketika melawat reruai MPOB selepas Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2024 di Kuala Lumpur.- Foto: NSTP

Mengenai isu kekurangan pekerja yang dihadapi oleh industri, Johari mencadangkan pengenalan program Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal (TVET) untuk penuai kelapa sawit.

“Kita mempunyai 5.67 juta hektar kawasan tanaman sawit di Malaysia tetapi tidak mempunyai penuai yang mencukupi, oleh itu program TVET boleh diperkenalkan untuk penuai yang boleh diuruskan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya.

Digabungkan dengan penuaian mekanikal MPOB, langkah itu sepatutnya membantu menangani kekurangan buruh, pihak berkepentingan dalam industri berkenaan harus mengiktiraf penuai sebagai satu profesion dan gaji mereka tidak seharusnya setara dengan pekerja asing, kata Johari.

Terdahulu dalam ucaptamanya, beliau berkata bahawa isu berterusan kekurangan tenaga kerja dalam sektor minyak sawit telah mengakibatkan kerugian pengeluaran dan hasil yang rendah, ia telah menghalang pengeluaran minyak sawit daripada mencapai potensi penuhnya pada 2022 dan 2023.

“Sebagai contoh, pembekuan pengambilan pekerja asing mengakibatkan kekurangan 55,000 pekerja dalam sektor minyak sawit pada Disember 2022.”

“Walaupun terdapat beberapa halangan awal, keadaan buruh beransur pulih dengan pembukaan semula pintu sempadan Malaysia menyebabkan sedikit peningkatan dalam pengeluaran minyak sawit mentah pada akhir 2023,” katanya.

Johari berkata kerajaan komited untuk memastikan pengurusan pekerja asing yang cekap untuk menangani situasi buruh kritikal dalam sektor perladangan.

Bertemakan ‘Memenuhi Keperluan Global dengan Minyak Sawit Mampan’, seminar berkenaan menarik 400 peserta tempatan dan antarabangsa. – BERNAMA

Loading...
Terkini