comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemunculan ‘tsunami balak’ gemparkan penduduk Sungai Rajang

Sisa balak yang dipercayai hanyut dari Katibas di Kapit sebelum memasuki Sungai Rajang didapati hanyut di Sungai Igan hari ini. Foto ihsan pembaca.

KUCHING: Kemunculan ratusan sisa balak yang digelar penduduk setempat sebagai ‘tsunami balak’ di Sungai Rajang sejak kelmarin menggemparkan penduduknya.

Ia mirip fenomena sama yang melanda kawasan itu pada tahun 2010.

Menurut penduduk, pagi tadi mereka mengesan sisa balak itu memasuki Sungai Igan pula.

Keadaan itu menyukarkan perjalanan bot kecil termasuk perkhidmatan bot laju yang membawa penumpang dari Dalat ke Sibu dan sebaliknya.

Sisa balak yang dipercayai hanyut dari Katibas di Kapit sebelum memasuki Sungai Rajang didapati hanyut di Sungai Igan hari ini. Foto ihsan pembaca.

Seorang pengguna pengangkutan sungai di Sibu berkata sisa balak itu didapati memenuhi Sungai Igan di lokasi berdekatan Rantau Panjang di Sibu pada jam 9 pagi tadi.

Menurutnya, berikutan itu banyak bot kecil terpaksa menghentikan perjalanan kerana bimbangkan keselamatan.

“Keadaan itu amat berbahaya bagi bot kecil. Ia bukan sahaja boleh merosakkan enjin malah boleh menyebabkan bot terbalik,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Jam.

Semalam, sisa balak itu yang dipercayai dari Sungai Katibas dilihat hanyut di Sungai Rajang dan melalui pekan Song dalam Bahagian Kapit.

Ia dipercayai berpunca akibat hujan lebat berterusan yang berlaku di kawasan pedalaman Hulu Rajang, Sabtu lalu.

Longgokan sisa balak hanyut yang luar biasa jumlahnya pernah menggemparkan Sarawak pada 2010 sehingga mula tercetusnya istilah ‘tsunami balak’.

Ketika itu, banyak sisa balak hanyut selepas hujan lebat dari hulu Sungai Melatai di Sungai Baleh susulan pembalakan tanpa kawalan.

Pada tahun 2021, kejadian sama berulang lagi apabila sisa balak dari hulu Baleh dalam Bahagian Kapit sekali lagi memenuhi Sungai Rajang.

Kejadian sisa balak hanyut itu bukan sahaja menjejaskan penduduk yang menjadikan sungai sebagai jalan perhubungan tetapi turut menjejaskan ekosistem sungai apabila pelbagai spesies hidupan sungai terancam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini