comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemunculan ular sawa ‘gergasi’ gemparkan penduduk

Tangkap layar video tular

PETALING JAYA: Kemunculan seekor ular sawa ‘gergasi’ di Seksyen 17 di sini pantas menggemparkan penduduknya.

Ia selepas reptilia berukuran lebih 3 meter panjang itu ditemui sedang menyelinap di dalam sebuah longkang di Jalan 17/1 di sini oleh salah seorang daripada mereka, semalam.

Insiden itu pantas menjadi buah mulut apabila video mengenai penemuan itu dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok atas nama Adzurri.

Sambil merakam, jurukamera video itu dengan jelas meminta seseorang segera memanggil anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat supaya datang menangkap ular itu.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila ular yang boleh dianggap agak besar itu dilihat cuba menyelinap di bawah timbunan sampah.

Anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian bagaimanapun berjaya menangkapnya.

Sejak disiarkan, video itu telah ditonton oleh lebih 10,000 orang dan dikongsi hampir 2,000 netizen.

Ia turut menerima hampir 400 komen dengan sebahagian besar cuba mengagak dari mana ia kebermungkinan datang.

Seorang daripada mereka dikenali sebagai @azkd.my menulis dia tertanya-tanya apa yang dimakan oleh ular sawa itu hingga ia menjadi sebegitu besar.

Beliau berkata dia tidak akan berasa ragu-ragu jika ular itu ditemui di dalam hutan tetapi menjadi pelik ular itu boleh membesar sebegitu rupa dengan hanya tinggal di bandar.

Seorang lagi pengguna, Lyzz Jeremiah pula berkata ular itu mungkin keluar dari habitatnya ekoran cuaca panas ketika ini.

Turut mencuri perhatian apabila seorang lagi pengguna menganggap perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kemungkinan ia sebelum ini dibela sebagai binatang peliharaan.

“Apabila pemiliknya sudah tidak mampu menjaganya atau ia telah menjadi terlalu besar, ular itu telah dibuang ke dalam longkang atau semak,’ katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini