comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemungkinan banjir kilat di lima negeri – JPS

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di beberapa kawasan di Perak, Selangor, Johor, Kedah dan Sarawak.

JPS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan notis yang dikeluarkan pada 5 petang tadi adalah berdasarkan makluman ramalan hujan Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS bahawa terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi di negeri terbabit jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.

Di Perak, kawasan berisiko terjejas ialah Daerah Batang Padang (Sungkai serta kawasan sekitarnya), Daerah Larut, Matang dan Selama (Bukit Gantang, Sungai Limau, Pengkalan Aor, Jebong, Asam Kumbang serta kawasan sekitarnya), Daerah Mualim (Hulu Bernam Timur serta kawasan sekitarnya) dan Daerah Perak Tengah (Pasir Panjang Hulu, Layang-Layang serta kawasan sekitarnya).

Di Selangor, kawasan yang dijangka terlibat ialah Daerah Hulu Selangor (Ulu Bernam serta kawasan sekitarnya), Daerah Klang (Klang, Pekan Kapar serta kawasan sekitarnya) dan Daerah Kuala Selangor (Pekan Bestari Jaya serta kawasan sekitarnya).

Di Kedah pula melibatkan Daerah Yan (Bandar Guar Chempedak serta kawasan sekitarnya) manakala di Johor membabitkan Daerah Muar (Seri Menanti serta kawasan sekitarnya).

Satu bahagian di Sarawak yang turut berisiko terjejas ialah Samarahan membabitkan Taman Residen, Sekolah Kebangsaan Muara Tuang, Kampung Tanjung Bundong, Taman Uni Garden, Kawasan Muara Tuang III serta kawasan sekitarnya.

“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Lebat Berterusan Peringkat Waspada membabitkan Kelantan dan Terengganu bermula hari ini hingga Jumaat. – BERNAMA

Loading...
Terkini