comscore
Tumpuan :
Nasional

Kenaikan gaji penjawat awam di Selangor, selaras pengumuan PM

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan menaikkan gaji penjawat awam selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Rabu lalu.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pelarasan itu akan dilaksanakan selepas mendapat pekeliling berhubung kenaikan gaji penjawat awam di peringkat Persekutuan.

“Kerajaan negeri menyambut baik pengumuman kadar kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri yang akan berkuat kuasa bermula 1 Disember depan.

“Pentadbiran ini akan mengambil langkah yang perlu selaras dengan tatacara kewangan sedia ada yang mana saya tunggu pelarasan datang dari kerajaan persekutuan (untuk kita selaraskan),” katanya pada sidang media di Bangunan Wisma Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, peningkatan gaji di peringkat negeri Selangor perlu menjadi dorongan kepada seluruh penjawat awam supaya produktiviti kerja perlu diperkukuhkan selaras dengan harapan rakyat yang tinggi bahawa sistem perkhidmatan Kerajaan sentiasa ditingkatkan.

Media pada 1 Mei lalu melaporkan, Perdana Menteri mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai 1 Disember depan.

Anwar dilaporkan berkata, sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan jumlahnya akan lebih tinggi daripada itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini