KUALA LUMPUR: Langkah penyasaran rasionalisasi subsidi diesel bermula Jun lalu bukan penyebab utama kenaikan kos barangan sektor pembuatan yang menyebabkan kejatuhan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pada Julai 2024.
Dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen, Kementerian Kewangan (MOF) berkata, kejatuhan minimal yang direkodkan daripada 49.9 mata pada Jun 2024 kepada 49.7 mata pada Julai 2024 boleh berpunca daripada pelbagai risiko ekonomi.
Katanya, ini termasuk permintaan luar yang lebih lemah, pengurangan aktiviti pembelian dan inventori oleh firma serta gangguan rantaian bekalan.
“Berdasarkan rekod PMI sektor pembuatan Malaysia bagi 2023 dan 2024, rekod pencapaian bulanan PMI sektor pembuatan bagi 2024 boleh dianggap lebih baik dan stabil berbanding 2023,” katanya.
Ia menjawab pertanyaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai respons kerajaan terhadap kejatuhan PMI di bawah paras neutral.
Katanya, rekod bacaan tertinggi PMI sektor pembuatan bagi 2024 dicatatkan pada tahap 50.2 mata pada Mei 2024 (2023: 48.8 mata pada Mac dan April) manakala bacaan terendah 48.4 mata pada Mac 2024 (2023: 46.5 mata pada Januari).- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.