Tumpuan :
Nasional

Kenaikan premium insurans, BNM masih fasa rundingan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir bagi menunaikan solat jumaat di surau AL-Manar, Putrajaya. FOTO NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menantikan proses rundingan Bank Negara susulan isu kenaikan premium insurans perubatan yang mencecah 70 peratus mulai tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini, perkara tersebut masih berada dalam fasa rundingan.

“Laporan Bank Negara mahu muktamadkan setelah dia berunding semula. Jadi setakat ini proses dia masih dirunding semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam) menyatakan, kenaikan premium insurans yang berkuat kuasa tahun depan kekal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark O’Dell berkata, pelarasan kenaikan harga itu akan dimulakan secara beransur-ansur.

Terdahulu, isu berkenaan turut dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen menerusi sidang Dewan Rakyat.

Pada 28 November lalu, BNM mengarahkan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.

Ia termasuk menguruskan kenaikan premium atau sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi takaful.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini