Tumpuan :
Nasional

Kenaikan pangkat perkhidmatan awam berasaskan merit – KSN

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata krnsiksn pangkat Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dibuat dengan berdasarkan kepada merit yang mana tiga komponen akan diambil kira.

Tiga komponen ditetapkan itu, katanya adalah mesti mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi, berpengalaman serta mampu untuk menggalas tanggungjawab.

“Yang penting dalam kenaikan pangkat ini, anda mesti seorang yang berintegriti tinggi, berpengalaman luas dan mesti ada pengetahuan tinggi dalam bidang.

“Faktor usia pula kadangkala ya, kadang kala tidak. (Yang penting) kita ada banyak penilaian dalam (menentukan) kenaikan pangkat (dalam perkhidmatan awam),” katanya pada sesi temubual eksklusif bersama Kumpulan Media Prima Berhad.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan meneruskan lagi amalan biasa kenaikan pangkat penjawat awam bersandarkan pengalaman dan tempoh masa perkhidmatan.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata kerajaan akan menaikkan pangkat penjawat awam berdasarkan prestasi dan perkhidmatan yang baik walaupun kurang dari 10 tahun.

Ini bermakna, hanya penjawat awam yang benar-benar layak akan diberi ganjaran melalui kenaikan gaji lebih tinggi, manakala kalangan kecil yang mengetepikan prinsip amalan bersih, cuai dan malas tidak akan diberi kelayakan dan ganjaran setimpal.

Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata, sebarang keputusan yang dibuat membabitkan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam adalah bertujuan untuk mengelakkan ketidakharmonian dalam perkhidmatan.

Bagaimanapun, beliau percaya keharmonian dalam perkhidmatan awam mampu dicapai dengan bekerja sebagai satu pasukan.

“Ada satu masa awak di bawah, bos di atas dan tiba-tiba awak di atas, bos awak pula di bawah… tapi yang paling penting adalah bekerja sebagai satu pasukan, saya tak pernah percaya kepada kerja secara silo.

“Dalam kerajaan sering diterapkan kerja berpasukan. Kita tak mahu jadikan suasana itu tidak harmoni,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan penjawat awam mempunyai tempoh opsyen hingga 30 November ini untuk memilih sama ada SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM), sebelum ia berkuat kuasa 1 Disember ini.

Pelaksanaan SSPA tidak akan menjejaskan pencen pegawai awam yang berstatus tetap dan pelarasan gaji baharu hanya terpakai kepada mereka yang memilih opsyen SSPA sahaja.

Peluang kenaikan pangkat secara one-off, kenaikan pangkat tanpa kekosongan, peluasan jawatan gred fleksi serta Laluan Pakar Bidang Khusus antara perkara diperkenalkan di bawah SSPA.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini