Tumpuan :
Nasional

Kenangan hantar Danial ke tempat kerja jadi kenangan terakhir bersama arwah – Bapa

Oleh: Izzatie Rizan

PUTRAJAYA: “Kenangan menghantar Muhammad Danial setiap hari sepanjang minggu lalu… jadi kenangan terakhir saya bersama arwah.”

Demikian kata Mohd Nuzi Tamli, 57, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Putrajaya di sini.

Muhammad Danial, 24, merupakan salah seorang mangsa yang maut bersama tiga lagi individu selepas kereta yang dinaiki terbabas berhampiran pusat beli-belah IOI City Mall, malam tadi.

Menurut Mohd Nuzi, meskipun masih bersedih, namun dia sekeluarga menerima ketentuan takdir yang menimpa anak kelapan daripada
10 beradik itu.

“Saya rebah seketika sebaik mendapat khabar sedih ini tengah hari tadi. Memang terkejut sebab saya tengah kerja.

“Tak sangka dia pergi dalam usia yang muda sebab baharu saya dihubungi dia malam kelmarin, mengatakan dia baik-baik sahaja,” katanya.

Tambah Muhd Nuzi, anaknya itu bekerja sebagai operator di sebuah kilang biskut di Kota Puteri, Kuala Selangor dan baharu tiga bulan tinggal berasingan.

Bercerita lanjut, Mohd Nuzi memberitahu anaknya itu adalah harapan keluarga kerana merupakan bekas pelajar tahfiz serta hafaz 30 juzuk Al-Quran.

“Dia memang anak yang baik dan selalu jadi imam di masjid kawasan perumahan kami.

“Sebaik sahaja proses bedah siasat selesai… InsyaAllah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya,” ujarnya.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, keempat-empat mangsa yang menaiki Perodua Viva dari arah Kajang menghala ke Putrajaya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan.

Akibat kemalangan itu, pemandu dan tiga lagi penumpang meninggal dunia di tempat kejadian dan kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini