Oleh: Selwam Arjunan
SIMPANG AMPAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak boleh terus memperdayakan rakyat dengan menggunakan slogan ‘bersih’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini kerana semakin terbukti terpalit dengan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Menurut Anwar, kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mencari seorang individu yang didakwa menantu kepada calon Perdana Menteri PN berhubung kes rasuah memberi petunjuk kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap gabungan terbabit.
“Sebelum ini dia (PN) kata bersih, itu dah tak ada. Sebab kita tahu kenyataan SPRM cari menantu calon PM (PN) lari. Mana boleh?
“Kalau SPRM ada bukti, (akan lakukan) siasatan, (akan membuat) pendakwaan. Kalau tak salah, pertahankan diri di mahkamah. Kenapa lari? Ini bukan contoh baik.
“Jumlah yang dikaitkan dengan kes rasuah ini banyak, jadi bersih tu tak boleh PN, Pas, Bersatu guna lagi kerana mereka terlalu terpalit rasuah besar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Sungai Bakap di Tasek, di sini, petang tadi.

Dalam satu kenyataan semalam, SPRM berkata sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
SPRM berkata, suruhanjaya itu cuba menghubungi dua lelaki terbabit, Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69, secara terus dan menerusi peguam masing-masing.
Namun, kedua-dua mereka enggan tampil memberi kerjasama.
Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.
Setakat ini, tiada rekod menunjukkan kedua-duanya kembali ke Malaysia.
Muhammad Adlan adalah menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi PN, manakala Mansoor adalah seorang peguam.
Muhyiddin pada Februari lalu menafikan beliau terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIIS) kepada IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.