
KOTA KINABALU: Keningau telah diklasifikasikan semula sebagai zon merah selepas kes demam babi Afrika (ASF) dikesan pada 7 Januari lalu, melibatkan penternakan khinzir di kawasan kediaman.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, memaklumkan virus ASF menjejaskan 12 daripada 20 ekor khinzir yang dipelihara oleh penternak terbabit.
“Penemuan ini menyebabkan Keningau diklasifikasikan semula daripada zon hijau (zon pemulihan) kepada zon merah (zon jangkitan),” katanya.
Beliau menjelaskan, siasatan mendapati khinzir yang dijangkiti menunjukkan tanda seperti hilang selera makan, lesu, hidung meleleh, dan mati. Sampel yang dikumpulkan telah disahkan positif ASF melalui ujian makmal.
Menurut Jeffrey, langkah kawalan segera telah diambil mengikut Subseksyen 45(2) Enakmen Haiwan 2015. Tindakan termasuk menyekat pergerakan khinzir dan produknya dari Keningau, memperkukuh pengawasan di seluruh Sabah, serta menasihatkan penternak meningkatkan biosekuriti.
Beliau turut menasihati penternak agar mengelak pemberian sisa dapur tidak dirawat kepada khinzir dan tidak membeli khinzir hidup dari sumber tidak diketahui.
Sementara itu, Jeffrey memberi jaminan bahawa bekalan daging khinzir sempena Tahun Baru Cina adalah mencukupi, disokong oleh ladang tempatan di Kota Kinabalu, Sandakan, dan Tawau.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.