comscore
Tumpuan :
Nasional

Kepadatan murid: SK Cyberjaya (2) siap 2028 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Tiga sekolah baharu akan dibina di Cyberjaya, Selangor dalam usaha mengatasi isu kepadatan murid di kawasan itu termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya (2) yang dijangka siap pembinaan pada tahun 2028.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, pihaknya prihatin terhadap isu kepadatan murid di SK Cyberjaya seperti yang dilaporkan media.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, SK Cyberjaya (2) yang dibida dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan Ke-3 (RMKe-12 RP3) (tahun 2023) telah mendapat kelulusan dan kini berada dalam proses perolehan.

“Sekolah baharu ini bakal dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan kemudahan lain mengikut konsep reka dan bina bagi mempercepatkan proses pembinaan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan situasi kepadatan murid Tahun 1 di sebuah sekolah rendah di Cyberjaya sehingga menempatkan 50 murid dalam satu kelas.

Mengulas lanjut, tambah kenyataan itu, penyelesaian jangka pendek yang sedang dilaksanakan termasuk penyuraian murid Tahun 1 ke beberapa sekolah berdekatan dan kelulusan pembinaan kabin 12 bilik darjah tambahan.

KPM turut mempunyai perancangan masa hadapan bagi mengatasi isu kepadatan murid di Cyberjaya.

Ini termasuk menerusi pembinaan sekolah menengah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya (2) yang akan dimohon dalam Rancangan Malaysia Ke-13 Rolling Plan Ke-1 (RMKe-13 RP1) Tahun 2026 pada tahun ini.

Selain itu, perolehan tanah bagi pembinaan SK Cyberjaya (3) akan dimohon dalam Rancangan Malaysia Ke-13 Rolling Plan Ke-2 (RMKe-13 RP2) Tahun 2027 pada tahun 2025.

“KPM sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan murid, guru dan semua warga sekolah di seluruh negara.

“Pendidikan manusiawi memastikan akses pendidikan terbaik untuk semua murid,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini