Tumpuan :
Nasional

Kepakaran SPACE42 dalam AI berpotensi tingkat keupayaan Malaysia – Ahmad Zahid

FOTO: Ahmad Zahid / Facebook

DUBAI: Kepakaran yang dimiliki Space42, sebuah pusat inovasi teknologi angkasa dalam kecerdasan buatan (AI) dan sambungan satelit mempunyai potensi besar untuk meningkatkan keupayaan Malaysia khususnya dalam pemantauan bencana alam dan tindak balas pantas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dengan teknologi canggih ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuh infrastruktur komunikasi negara, malah kita juga akan dapat memastikan rakyat Malaysia terus menikmati akses digital yang lebih luas dan selamat,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Pada Khamis, Ahmad Zahid bersama delegasi Malaysia mengadakan lawatan ke Space42 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Space42 merupakan pusat inovasi yang memanfaatkan teknologi AI, komunikasi satelit dan analitik geospatial.

Program bersempena lawatan rasmi beliau selama tujuh hari ke UAE bermula 13 Nov itu menandakan langkah penting ke arah kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan UAE dengan memanfaatkan teknologi canggih untuk memacu pertumbuhan mampan, meningkatkan ketahanan serta memperkukuh kerjasama serantau.

“Melalui kerjasama strategik ini, saya optimis bahawa kita mampu membina masa depan di mana teknologi memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Insya-Allah,” katanya.

Dalam satu lagi hantaran, Ahmad Zahid berkata setibanya di Dubai hari ini, beliau telah mempengerusikan sesi ‘Pre-Council’ bersama delegasi Malaysia bagi membincangkan secara terperinci mengenai lawatan beliau di sini.

“Tumpuan utama kami adalah untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor halal global serta meneroka peluang strategik yang dapat memperhebat pengembangan industri ini di pasaran antarabangsa.

“Doakan semoga segala urusan kami di Dubai ini berjalan lancar seterusnya memberi impak positif kepada negara khususnya dalam memperkasakan industri halal Malaysia. Amin,” katanya.

Ahmad Zahid dijadual merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Dubai 2024 dan bertemu dengan pihak berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini