comscore
Tumpuan :
Nasional

Kepala air: 5 remaja, budak 10 tahun cemas terperangkap atas batu

5 remaja dan seorang kanak-kanak lelaki cemas apabila terperangkap di atas batu ketika kejadian kepala air di tengah Sungai Batang Labu Batu 9, Kampung Tebing Tinggi, di sini, petang tadi. FOTO: Ihsan Bomba

NILAI: 5 remaja dan seorang kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap di atas batu di tengah Sungai Batang Labu Batu 9, Kampung Tebing Tinggi, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, enam mangsa dikatakan bermain di batu kawasan sungai berkenaan sebelum hujan lebat menyebabkan arus deras, lalu terperangkap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian jam 5.09 petang sebelum bergegas ke lokasi dan tiba jam 5.25.

“Seramai sembilan petugas dari BBP Nilai ke lokasi dibantu tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pelegong.

“Seramai enam mangsa membabitkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, tiga remaja berusia 14 tahun dan masing-masing seorang berusia 16 serta 17 tahun yang terperangkap di atas batu sungai akibat air sungai yang mengalir deras atau kepala air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan teknik penyelamatan ‘high line technique’ untuk membawa keluar mangsa ke tempat selamat dengan menggunakan jaket keselamatan.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan pada jam 6.40 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kami difahamkan terdahulu semua mangsa bermain di lokasi itu sebelum hujan lebat menyebabkan berlaku kepala air sekaligus membuatkan mangsa terperangkap di atas batu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini