Tumpuan :
Nasional

Kepala Air: Guru, kanak-kanak tadika terperangkap dalam gua berjaya diselamatkan

 

KUALA KRAI: Seramai 40 mangsa membabitkan guru dan kanak-kanak dari sebuah tadika di Kuala Terengganu yang terperangkap akibat kepala air di Gua Ikan, Dabong berjaya diselamatkan.

Difahamkan mereka mengadakan lawatan di gua berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mohd Aiman Aminuddin berkata mangsa terdiri daripada 21 kanak-kanak dan 19 orang dewasa.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.24 petang dari sistem MERS 999 yang memaklumkan terdapat mangsa terperangkap akibat kepala air.

“Seramai tujuh pengawai dan anggota dari BBP Dabong dikerahkan ke lokasi kejadian membabitkan satu jentera FRT, satu bot alumium dan sebuah pacuan empat roda.

 

“Operasi menyelamat dilakukan dengan memunggah mangsa menggunakan bot bomba dan kesemuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.13 petang.

Sehubungan itu, bomba menasihati orang awam agar menghentikan kesemua aktiviti rekreasi dan sukan lasak, selain tidak ke kawasan yang berisiko tinggi pada musim tengkujuh ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini