comscore
Tumpuan :
Nasional

Kepala air: Tiga sekeluarga nyaris lemas, dihanyutkan arus 5 meter 

Siti Alia menunjukkan tempat beliau dihanyutkan arus deras di Lata Changkah, Setiu.-Foto: NSTP

SETIU: Seorang ibu dan anak berusia tujuh tahun hanyut dibawa kepala air di Lata Changkah, dekat sini dalam kejadian 4.30 petang semalam.

Siti Alia Aisha Mohd Afandi, 30, berkata mereka berdua dan adiknya dihanyutkan arus kira-kira lima meter, sebelum diselamatkan orang ramai.

“Sebelum kejadian, saya bersama dua anak lelaki berusia dua dan tujuh tahun serta adik perempuan berada di seberang sungai.

“Ketika kami berada dalam air, saya dengar anak saudara yang berada di darat menjerit memanggil kami naik.

“Alhamdulillah kami semua selamat walaupun saya hampir lemas, manakala anak sulung serta adik saya sempat berpaut pada pelampung sebelum diselamatkan orang ramai,” katanya.

Siti Alia bersama keluarga dari Kota Bharu berkata, anak keduanya berjaya diselamatkan oleh seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang kebetulan turut berada di tempat kejadian.

Beliau berkata, orang ramai yang turut mandi-manda naik ke tebing selepas banyak sampah mula dihanyutkan dan kemudian arus deras tiba dalam sekelip mata.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa, berkata enam individu berjaya diselamatkan dalam kejadian kepala air di Lata Changkah.

“Mereka diselamatkan orang ramai di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini