comscore
Tumpuan :
Nasional

Kepengerusian ASEAN: Malaysia akan main peranan bawa ASEAN ke kedudukan lebih baik

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia akan memainkan peranan membawa ASEAN ke satu kedudukan lebih baik sepanjang tempoh menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, beberapa prinsip yang dipegang ASEAN juga akan ditegaskan pada pentas berkenaan.

“Malaysia akan secara rasminya menerima kepengerusian ASEAN bagi tahun 2025 dan sudah pasti kepengerusian ASEAN ini bagi tahun 2025 adalah satu perkara yang cukup dinantikan.

“Malaysia akan mainkan peranan untuk pastikan ASEAN itu sendiri berada pada satu kedudukan yang lebih baik. Insya-Allah, kita harap dan menegaskan beberapa prinsip yang dipegang oleh ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.

Malaysia secara rasmi akan menerima Kepengerusian ASEAN pada 11 Oktober ini daripada Laos.

Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan bermula hari ini hingga 11 Oktober di Vientiane, Laos.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan akan membolehkan Malaysia berkongsi perspektif serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu.

Ini termasuk usaha pembinaan komuniti ASEAN dan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, keamanan serta kestabilan serantau, integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baharu, peralihan tenaga, keselamatan makanan, serta kemajuan Timor-Leste ke arah keahlian penuh ASEAN dan hubungan ASEAN dengan rakan kongsinya.

Semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini