comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Keputusan henti monopoli : DRB, PUSPAKOM sudah bincang  

PUTRAJAYA: Keputusan untuk menghentikan monopoli dan membuka persaingan dalam perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor sudah dibincangkan bersama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di bawah DRB-HICOM.

Justeru tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke,  tidak timbul isu keputusan dibuat tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan penyedia tunggal perkhidmatan itu.

“DRB dan PUSPAKOM tahu keputusan ini, kita sudah bincang bersama mereka…perihal perbincangan itu tidak perlu saya dedah, tapi mereka mengambil maklum keputusan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, isu penyedia perkhidmatan tunggal itu dan kenapa tidak ada pilihan lain sudah dibangkitkan orang ramai sejak bertahun-tahun malah turut dibincang di Parlimen.

“Malah pada 2018 ketika kali pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), kita tubuh satu jawatankuasa untuk menilai semula semua monopoli dalam industri, tetapi ketika itu konsesi (PUSPAKOM) masih berjalan dan hanya berakhir pada 2024.

“Jadi (kini) menghampiri tempoh itu, keputusan perlu dibuat segera sama ada mahu meneruskan konsesi ini atau tidak, saya bawa ke Kabinet dan minta konsesi ini dilanjut (tambahan 15 tahun), tetapi tiada lagi eksklusiviti kepadaPUSPAKOM, itu bezanya,” katanya.

Sama ada persaingan akan dibuka kepada lebih daripada satu syarikat, Loke berkata, perkara itu akan dinilai pihaknya.

“Tetapi kita juga ambil kira bahawa pasaran kenderaan diperiksa ini adalah pasaran terhad, kerana ia hanya meliputi kenderaan perdagangan.

“Jadi kita kena lihat sama ada dia mampan atau tidak apabila kita melantik lebih daripada dua syarikat penyedia perkhidmatan, pada ketika ini perkara itu belum ditetapkan lagi.

“Tapi apa yang kita harapkan, selepas 2024, tidak ada lagi soal monopoli atau eksklusif yang mana sering kali diminta oleh pengguna supaya kerajaan benarkan satu lagi syarikat penyedia perkhidmatan,” katanya.

Loading...
Terkini