comscore
Tumpuan :
Nasional

Keputusan ‘Partial Award’ isu Sulu esok

FOTO hiasan

PUTRAJAYA: Mahkamah Perancis akan membuat keputusan sama ada menguatkuasakan ‘Partial Award’ kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Sulu atau sebaliknya esok.

Bagaimanapun Sekretariat Khas kerajaan menangani tuntutan kumpulan terbabit berkata, Malaysia akan terus mengambil semua tindakan proaktif bagi memperkukuhkan kedaulatannya.

Malaysia juga akan mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh dalam usaha mengangkat kesucian arbitrasi di peringkat antarabangsa.

“Pada 6 Jun 2023, Mahkamah Perancis akan membuat keputusan sama ada menguatkuasakan ‘Partial Award’ kepada penuntut atau sebaliknya.

“Susulan hasil keputusan pada 6 Jun 2023 itu, Malaysia akan terus mengambil langkah aktif memperkasakan imuniti kedaulatannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan menafikan semua dakwaan dan sindiran terhadap kedudukan undang-undang Malaysia dibuat menerusi surat ditulis peguam kepada kumpulan berkenaan, Paul H Cohen, kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Sekretariat Khas berkata, surat ditulis Paul H Cohen itu memfitnah Kerajaan Malaysia.

Menurut Sekretariat Khas, Peguam Negara membalas surat terbabit pada 31 Mei lalu dengan menyenaraikan semua fakta terhadap dakwaan yang dikemukakan.

Malah, satu laporan polis dibuat pada 1 Jun lalu terhadap Paul H Cohen, atas kenyataan fitnah dan dakwaan yang dibuatnya terhadap Peguam Negara.

“Pada 29 Mei 2023, Pejabat Peguam Negara menerima surat daripada Paul H Cohen, peguam kepada kumpulan yang mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu.

“Mereka menuntut pembayaran segera ‘Final Award’ AS$16.412 bilion (RM75.13 bilion), termasuk 10 peratus faedah, AS$4,026,592.64 (RM18,431,724.27) kos arbitrasi dan AS$3,502,394.24 (RM16,032,206.55) yuran guaman,” katanya.

Katanya, selain tuntutan terbabit, surat itu mendakwa, Kerajaan Malaysia gagal mematuhi ‘Final Award’ terbabit secara sengaja dan tindakan Malaysia membabitkan kes penimbang tara di Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa, adalah keterlaluan.

“Kerajaan akan terus mempertahankan penjawat awamnya yang menjalankan tugas, termasuk Peguam Negara dalam hal ini.

“Kerajaan juga akan mengambil tindakan ke atas mana-mana rakyat Malaysia, yang dikenal pasti menyediakan bahan sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada penuntut atau mereka yang dikaitkan dengan penuntut dalam kes arbitrasi terhadap Malaysia ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dilaporkan berkata, kumpulan Sulu yang menuntut hak ke atas Sabah bertindak biadap apabila menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, meminta bayaran pampasan.

Loading...
Terkini