comscore
Tumpuan :
Nasional

Keputusan pengampunan Najib dijangka diumum minggu ini – Dr Zaliha

Datuk Seri Najib Razak hadir pada sambung bicara kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu.-
Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Lembaga Pengampunan dijangka membuat pengumuman rasmi pada minggu ini berhubung permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan pengampunan selepas disabitkan kesalahan atas pertuduhan rasuah dan dihukum penjara 12 tahun.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Hari Wilayah Persekutuan (HWP) 2024, di sini, hari ini.

“Insya-Allah, minggu ini akan diumumkan,” katanya ringkas ketika menjawab soalan pemberita.

Ditanya kenapa masa lama diambil untuk mengeluarkan keputusan itu pula, Dr Zaliha berkata, beliau mahu semua pihak bersabar dan menunggu hingga kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Lembaga Pengampunan.

“Sabar, sabar dan yakin, tunggu kenyataan dikeluarkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan isu keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri itu ada dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata mesyuarat Jemaah Menteri ada dimaklumkan mengenai perkara itu tetapi ‘sepintas lalu’ saja.

Malah, Saifuddin Nasution menjelaskan, Kabinet tiada bidang kuasa untuk mengumumkan keputusan Lembaga Pengampunan itu.

Lembaga Pengampunan yang bersidang pada Isnin lalu dilaporkan sudah membuat keputusan mengenai permohonan Najib tetapi hingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan.

 

Loading...
Terkini