comscore
Tumpuan :
Nasional

Keputusan siar statistik kes kematian secara ‘real time’ suntik kesedaran pengguna jalan raya

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan menyiarkan statistik kes kematian akibat kemalangan secara ‘real time’ atau masa nyata disifatkan langkah baharu yang dapat menyuntik kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana menurut data daripada Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, sebanyak 598,635 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 5,984 kes membabitkan kemalangan maut dengan 6,433 kematian dilaporkan.

“Tidak dinafikan, antara faktor yang sering dikaitkan dengan kemalangan jalan raya adalah keadaan infrastruktur jalan raya.

“Berdasarkan kajian dari MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia), faktor paling kritikal yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya ialah kesalahan pemandu (80.6 peratus), keadaan jalan dan persekitaran (13.2 peratus) dan keadaan kenderaan (6.2 peratus),” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada sesi Dewan Rakyat baru-baru ini memaklumkan, kerajaan akan menyiarkan statistik kes kematian akibat kemalangan secara ‘real time’ setiap hari, sebagai langkah baru bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu akan dilaksana dalam masa terdekat, dengan pelaporan yang akan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, adalah sama seperti pelaporan kes harian jangkitan COVID-19 sebelum ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, biarpun kajian menunjukkan faktor jalan dan persekitaran hanya menyumbang kurang daripada 15 peratus, namun pengguna jalan raya akan menghadapi peningkatan risiko kemalangan kerana kerosakan jalan, seperti retak permukaan dan jalan berlubang.

Justeru, sebagai Menteri Kerja Raya, beliau menyedari situasi itu dan pasukannya sentiasa berusaha melaksanakan tindakan proaktif bagi memperbaiki mutu jalan raya.

“Namun antara cabaran utama untuk merealisasikan inisiatif ini sepenuhnya berkait rapat dengan kekurangan peruntukan yang disalurkan kepada kementerian setiap tahun.

“Secara keseluruhannya, Kementerian Kerja Raya memerlukan hampir RM4 bilion bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan raya di seluruh Malaysia.

“Jumlah ini dipohon setiap tahun sebelum pembentangan belanjawan namun, memahami kekangan kewangan kerajaan Pusat, kementerian terpaksa akur dengan hanya menerima 25 peratus daripada RM4 bilion yang dipohon,” katanya.

Atas dasar itu, katanya, program MYJalan dicetuskan bagi mempertingkatkan kebertanggungjawaban semua pihak yang terbabit dalam memastikan kualiti infrastruktur jalan raya selamat dan selesa buat rakyat Malaysia Madani.

Jelasnya, melalui program dan aplikasi aduan ‘one stop centre’ MYJalan, data kerosakan jalan yang diterima dapat digunakan bagi mengenal pasti keperluan kewangan yang mendesak bagi membaiki jalan rosak di seluruh negara.

“Ini penting demi memastikan keselamatan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini