comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Keputusan SPM 2023 dikeluarkan Isnin, 27 Mei – KPM

 

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bakal diumumkan pada Isnin, 27 Mei ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan calon yang menduduki peperiksaan itu di sekolah, boleh memperoleh keputusan daripada sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi.

“Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM 2023 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur,” katanya.

KPM juga berkata, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan bermula jam 10 pagi pada 27 Mei sehingga jam 6 petang 2 Jun 2024.

“Calon juga boleh mendapatkan keputusan secara sistem pesanan ringkas (SMS).

Untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 15888.

“Sistem ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi pada 27 Mei sehingga jam 6 petang pada 2 Jun 2024,” katanya.

KPM turut mengucapkan tahniah kepada semua calon atas keputusan SPM 2023.

“Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus cemerlang dan menyumbang khidmat bakti kepada negara pada masa hadapan,” katanya.

Secara keseluruhan, 395,870 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara yang berlangsung dari 8 Januari hingga 7 Mac lalu.

Ia membabitkan tiga jenis ujian iaitu ujian bertutur, mendengar dan peperiksaan bertulis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

 

Loading...
Terkini