
KUALA LUMPUR: Keputusan toksikologi tiga beranak yang ditemui mati di sebuah di pangsapuri di Ampang Bharu, di sini, Khamis lalu dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keputusan itu bagi membantu mengetahui punca kematian ibu dan dua anaknya di sebuah bilik di Kampung Ampang Bharu itu.

“Pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar kejadian termasuk berkait masalah kewangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khamis lalu, mayat seorang wanita berusia 42 tahun dan dua anaknya masing-masing berusia 15 dan 14 tahun ditemui dalam sebuah bilik di tingkat tiga pangsapuri pada jam 7.44 pagi.
Artikel berkaitan: Ibu, 2 anak ditemui mati dalam bilik sewa
Hussein dilaporkan berkata turut ditemui satu bekas arang bersama pencucuh api diletakkan di bawah sofa bilik itu serta surat wasiat dan sejumlah wang tunai.
Katanya, mayat tiga beranak itu ditemui di dalam bilik tidur pertama dengan pintu dan tingkap bilik ditutup rapat menggunakan pita pelekat.