comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerahsiaan pemberi maklumat perlu dijaga

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berucap ketika Program Libat Urus Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Bersama Masyarakat di Dewan Komuniti TTDI, Kuala Lumpur.- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan untuk menjaga sensitiviti dan kerahsiaan pemberi maklumat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, satu perbincangan akan dilakukan terhadap timbalannya dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) mengenai isu kebocoran maklumat pengadu.

Menurutnya, aduan yang dibangkitkan akan diterima dan dibaiki bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara.

“Kurang kepekaan kami dalam memelihara kerahsiaan dan maklumat apabila panggil suspek dan pengadu pada hari yang sama.

“Hari ini, semua peringkat ada termasuk Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD). Kalau mereka datang main telefon, baik tak payah. Mereka ini yang akan jaga perihal siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan yang dibangkitkan orang awam yang hadir dalam Sesi Libat Urus Pengarah JSJ bersama masyarakat di Dewan Pusat Komuniti TTDI di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, tahap kepercayaan masyarakat kepada PDRM perlu diperbaiki bagi memastikan masyarakat dapat berkongsi maklumat mengenai jenayah di tempat mereka.

Katanya, sesi libat urus diantara JSJ dan masyarakat telah membuka mata pegawai kanan termasuk Ketua Polis Daerah (KPD), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) mengenai masalah yang berlaku di kawasan mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini