comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan akan tangani isu prasarana di institusi kesihatan awam

KUALA LUMPUR: Masalah prasarana yang dihadapi oleh pesakit dan pekerja hospital akan ditangani segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, panas dan sesak menjadi antara masalah yang dihadapi di wad kelas tiga.

“Macam kawasan wad kelas tiga itu tentu, panas sikit dan sesak dan menteri akan bawa dalam perjumpaan jemaah menteri untuk kita segerakan mana yang perlu.

“Walaupun begitu, saya selalu menggesa supaya buat kajian itu biar yang menyeluruh, cara mana kita perolehan ubat-ubat, apakah ikut kaedah kos seterusnya tidak merugikan, adakah ubat-ubat itu digunakan sepenuhnya dan tidak ada pembaziran,

Beliau berkata demikian selepas melawat 27 orang pesakit di Wad 18A (Perubatan) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di ibu negara pagi tadi.

Katanya, kerajaan juga akan memberikan tumpuan yang lebih kepada HKL kerana mempunyai tanggungan yang lebih besar berbanding hospital lain.

Namun demikian, kerajaan juga akan terus memberikan fokus kepada institusi kesihatan yang lain seperti klinik-klinik luar bandar seperti di Kapit, Sarawak dan Manek Urai, Kelantan.

Jelas beliau, perkara itu akan dilihat secara menyeluruh terlebih dahulu oleh kementerian terlibat sebelum membuat sebarang keputusan.

Tambahnya, seperti yang semua sedia maklum, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan mendapat peruntukan terbesar dalam negara.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan tahniah kepada HKL kerana telah mendapat pengiktirafan bertaraf dunia dari segi prestasinya.

“Tahniah kerana HKL, seperti mana yang telah diumumkan, HKL itu dari segi prestasi mendapat pengiktirafan bertaraf dunia.

“Jadi saya harap itu sebagai galakan untuk kita terus tingkatkan usaha kita, amal kita dan khidmat kita,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini