comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan ambil tanggungjawab rawat kesan sampingan vaksinasi COVID-19

Oleh: Kumaran Rajamoney

BALING: Kerajaan akan bertanggungjawab dalam memberikan rawatan kepada penerima vaksin COVID-19 termasuk jenis AstraZeneca sekiranya terbukti mereka mengalami kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jaminan itu berdasarkan kepada semua data berkaitan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ditemui semasa Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling, hari ini.

Katanya, kerajaan turut mempunyai kaedah untuk merawat kesan sampingan berkenaan.

“AstraZeneca telah memanggil vaksin mereka dan ini adalah global, apa yang kita mahu pastikan adalah kalau ada sesiapa yang ada terbukti ‘evidence base’ yang terkait dengan vaksin AstraZeneca itu kita memang punya cara untuk pastikan mereka diberikan bantuan.”

“Memang ada kaedah kita untuk bertanggungjawab untuk merawat mereka, dan itu jaminan yang diberikan kerajaan, kita ada data-datanya dengan diistilah sebagai AEFI. Jadi kita ada data itu kalau benar dapat buktikan, kita akan berikan (dan) pastikan susulan rawatan yang teruk termasuk kita berikan segala bantuan….Kerajaan akan bertanggungjawab,” katanya.

Dzulkefly berkata, kerajaan turut akan bertanggungjawab terhadap penerima vaksin daripada firma farmaseutikal lain seperti Pfizer-BioNTech dan Sinovac, sekiranya turut terbukti menghadapi kesan sampingan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Badioezaman Ab Khalik dan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria.

Sebelum ini, firma farmaseutikal global Britain-Sweden, AstraZeneca dilaporkan menarik balik vaksin COVID-19 di seluruh dunia.

Susulan daripada itu, Dr Dzulkefly semalam dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu penarikan balik vaksin COVID-19 berkenaan dalam masa terdekat.

Sementara itu, ditanya sama ada isu berkenaan akan mencetuskan kebimbangan dan keyakinan masyarakat terhadap vaksin, Dzulkefly berkata isu berkaitan vaksin COVID-19 itu tidak akan memberi kesan terhadap program vaksin lain termasuk Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).

“Vaksin COVID-19 itu satu hal lain, kita juga ada program-program vaksinasi seperti HPV untuk menamatkan kanser pangkal rahim, kita juga ada NIP, ibu bapa yang punyai anak berasa terbantu kerana untuk mendapatkan vaksin ini mahal.

“Tidak ada pertikaian dalam hal itu, saya yakin rakyat tahu, punya pendidikan, punya pencerahan dan punya pengetahuan dan kita akan terus memberikan pendidikan kepada rakyat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini