comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Laluan tikus’ ke CIQ BSI Tambak Johor ditutup

Foto NSTP

JOHOR BAHRU: ‘Laluan tikus’ yang digunakan pejalan kaki untuk memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Tambak Johor, di sini, diarah tutup.

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor, hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, keputusan itu demi keselamatan terutama kebimbangan kerajaan mengenai kebolosan pengembara di sempadan Malaysia-Singapura selain terdapat laporan insiden kemalangan berlaku di kawasan sama.

Beliau berkata, sebagai langkah jangka pendek, kerajaan negeri akan menyediakan bas henti-henti (shuttle bus) bagi penjalan kaki untuk ke CIQ BSI.

“Lorong tikus (laluan pintas) untuk masuk ke CIQ BSI itu sedang dikaji penyelesaiannya dengan rapi.

“Namun Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor ada mencadangkan untuk buat ‘shutle bus’ bagi jangka masa pendek bagi kemudahan supaya mereka yang berjalan kaki datang dari Stulang dan sekitarnya selesa ke CIQ BSI.

“Oleh itu, laluan tikus itu terpaksa ditutup atas faktor keselamatan terutama isu kebolosan dan insiden kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor di CIQ BSI, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas itu secara dalam talian.

Terdahulu, Onn Hafiz mengiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau CIQ BSI bagi melihat keadaan kesesakan di situ pada waktu puncak.

Laluan tikus’ itu merujuk kepada laluan pintas yang digunakan pekerja Malaysia di Singapura yang berjalan kaki menuju ke CIQ BSI, bermula dari arah Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Stulang yang merentasi laluan di celah beberapa bangunan komersial sejauh 1.5 kilometer.

Sebelum ini media melaporkan laluan tikus berkenaan menjimatkan masa pekerja Malaysia di Singapura yang berjalan kaki ke CIQ BSI kerana penutupan laluan itu menyebabkan mereka terpaksa berjalan sejauh 1.5 km mengelilingi kompleks itu.

Pejalan kaki juga dilaporkan jalan pintas berkenaan bukan sahaja memberi kemudahan pada mereka malah menyuraikan lalu lintas dari pusat bandar, yang kini sesak teruk akibat kerja-kerja pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) yang sedang dijalankan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri berharap akan ada berita baik untuk Johor dalam Belanjawan 2024 yangakan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini.

“Segala permohonan yang diperlukan Johor telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, kita akan tunggu pengumuman itu.

“Saya yakin ada berita baik untuk Johor,” katanya.

Loading...
Terkini