comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan bantu Pulau Pinang atasi masalah bekalan air

KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan memberikan bantuan kepada Pulau Pinang bagi mengatasi masalah bekalan air yang sedang dihadapi oleh negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bantuan terbabit akan diberikan sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman kepada kerajaan negeri.

Bantuan terbabit katanya bagi membolehkan negeri berkenaan melaksanakan penambahbaikan serta mengantikan jaringan paip lama yang membekalkan air keseluruh negeri berkenaan.

“Masalah bekalan air yang dihadapi oleh Pulau Pinang berpunca daripada masalah jaringan paip lama.

“Paip-paip ini sudah tidak lagi berupaya menampung peningkatan tekanan dan pemintaan air oleh penduduk di seluruh Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui selepas melancarkan Pasar Malam Tanpa Tunai di Pasar Malam Metro City, Kuching.

Fadillah berkata, isu sama turut berlaku diseluruh negara dengan kebanyakkan jaringan paip sedia ada adalah paip-paip lama.

Paip-paip berkenaan tegasnya perlu diganti bagi mengurangkan isu bekalan air berlaku serta mencegah masalah air yang tidak mendatangkan pendapatan.

“Sebab itu salah satu tumpuan kita ialah untuk mengurangkan masalah air yang tidak mendatangkan pendapatan dan mana-mana yang melebihi tahap peringkat nasional maka kita akan menfokuskan untuk memberikan bantuan kepada peringkat negeri.

” Ia supaya mereka dapat mengantikan paip-paip yang lama dengan paip-paip yang baru untuk mengurangkan masalah air yang tidak mendatangkan pendapatan,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam memberitahu, kementeriannya juga turut berkerjasama dan memantau penyedia perkhidmatan bekalan air dalam membolehkan penyedia perkhidmatan ini melakukan penambahbaikan terhadap sistem bekalan air negara.

Kerjasama terbabit sama ada dalam bentuk khidmat bantuan teknikal atau pinjaman serta geran memandangkan bidang kuasa pembekalan air adalah dibawah kuasa kerajaan negeri.

Jelasnya, perbincangan juga sedang dilaksanakan dengan semua kerajaan negeri mengenai perkara yang kerajaan persekutuan boleh lakukan dalam membantu mengatasi masalah bekalan air.

Ia termasuk usaha untuk menaikan tarif bekalan air bagi menampung usaha penambahbaikan sistem bekalan di negeri-negeri terlibat.

Loading...
Terkini