comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan buktikan komitmen, tingkat peruntukan pembangunan Sabah, Sarawak

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Peningkatan peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2024 menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di kedua-dua negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peningkatan peruntukan itu juga menggambarkan bahawa pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di Sabah dan Sarawak diberi tumpuan dalam belanjawan tahun hadapan.

“Menyedari kedudukan kewangan negara yang mencabar, sudah pasti peningkatan yang diberikan itu, kita sepatutnya boleh dikatakan bergembira sebab itu menggambarkan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan Perpaduan untuk bantu dan beri komitmen supaya Sabah dan Sarawak diberi tumpuan untuk meningkatkan infrastruktur.

“Kita tahu Yang di-Pertuan Agong sendiri turun melihat keadaan di Sabah dan Sarawak melalui Kembara Borneo dan baginda sebenarnya sudah memberi laporan kepada Perdana Menteri mengenai aduan rakyat.

“Baginda mengatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Sabah dan Sarawak patut diberi peruntukan yang lebih selepas mendapati infrastruktur di negeri ini jauh ketinggalan berbanding negeri di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Pasca Pembentangan Belanjawan 2024 yang disiarkan di BERNAMA TV, malam tadi.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, dengan peruntukan itu juga sudah pasti dapat menyegerakan atau mempercepatkan lagi pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan.

“Tetapi apa pun, tumpuan yang kita berikan sekarang ialah tatakelola yang baik, walaupun peruntukan itu ada, kalau tidak dibelanjakan dengan berhemah, efektif dan efisien ia tidak akan memberikan kesan.

“Sebab itu kita kena pastikan bahawa jentera kerajaan selaku agensi pelaksana akan dapat melaksanakan kerja-kerja secepat mungkin dan sebaik mungkin supaya apa sahaja kerja yang ketinggalan yang perlu dilaksanakan dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, melalui Belanjawan 2024 kerajaan bersetuju agar mana-mana projek di bawah RM50 juta diserahkan pelaksanaannya kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak selari dengan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dengan langkah ini juga dapat mengurangkan karenah birokrasi dan menyegerakan mana-mana projek yang tidak berapa sukar kerana projek di bawah RM50 juta biasanya boleh dilaksanakan agensi pelaksana kita,” katanya.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat Jumaat lepas mengumumkan bagi pembangunan Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion manakala Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan, kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak.– BERNAMA

Loading...
Terkini