comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan cadang adakan Pilihan raya Khas Belia

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menganjurkan pilihan raya khas untuk pelantikan Ahli Parlimen Belia.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata penganjurannya nanti dicadang mirip kepada pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) yang dianjurkan lima tahun sekali membabitkan 222 kerusi Parlimen.

Perincian mengenai hal itu bagaimanapun masih belum ditetapkan kerana ia masih dalam perbincangan melibatkan pemegang taruh.

“Kita akan buat penyesuaian kerana ketika ini Parlimen Belia cuma membabitkan 100 orang dan kita akan tingkatkan ia kepada 222 orang. Maksudnya, semua kawasan Parlimen akan ada calon belia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab dengan media sempena perjumpaan bersama ketua pengarang media dan agensi berkaitan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen.

Tan Sri Johari turut mencadangkan umur individu yang layak mengundi bagi pilihan raya itu nanti dalam lingkungan 16 hingga 35 tahun.

“Matlamat kita adalah untuk lihat penyertaan masyarakat memilih Ahli Parlimen Belia dan proses itu harus diuji. Ini kerana, saya berpandangan, rakyat Malaysia harus melihat dan memberi peluang kepada pemimpin muda dan untuk itu, banyak pelaburan perlu dibuat.

“Secara peribadi, saya rasakan kita perlu labur banyak terhadap belia dan kena betulkan apa yang berlaku dari segi sistem (Parlimen sekarang). Kalau kita tak buat, akan berlaku kepemimpinan yang tidak sepadan,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini