comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan cadang tempoh khidmat anggota, pegawai SMART ditambah – TPM

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Amanat Tahun Baharu di Markas SMART di Puchong, Selangor hari ini.

PUCHONG: Kerajaan bercadang menambah tempoh perkhidmatan setiap anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bersama agensi itu yang kini ditetapkan selama lima tahun kepada satu tempoh lebih lama.

Timbalan Perdana Manteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penambahan tempoh itu perlu memandangkan ramai anggota yang berkhidmat bersama agensi terbabit ketika ini telah mempunyai kepakaran dan banyak pengalaman dalam mengendali bencana di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, dasar yang menetapkan hanya lima tahun tempoh bertugas bagi setiap anggota dan pegawai bersama SMART mengakibatkan kerajaan perlu menanggung belanja besar untuk melatih anggota baharu, terutama selepas anggota lama kembali berkhidmat di agensi asal mereka.

“Mengikut persefahaman antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menubuhkan SMART dan organisasi atau agensi yang meminjamkan pegawai dan anggotanya, ini kita panggil sebagai ‘return’ untuk satu tempoh tertentu.

“Mereka yang ada di sini sebenarnya telah dilatih, kalau kita ambil baharu, kita kena buat latihan baharu,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu Timbalan Perdana Menteri bersama NADMA di Markas SMART hari ini.

Dasar ketika ini menetapkan hanya lima tahun dibenarkan kepada setiap anggota dan pegawai SMART berkhidmat bersama agensi itu dan mereka perlu kembali bertugas di agensi masing-masing sebaik tamat tempoh berkenaan.

SMART kini memiliki kekuatan 125 anggota dan pegawai yang mewakili tiga agensi utama iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagaimanapun, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedar jika tempoh khidmat mereka bersama SMART dilanjutkan, kebarangkalian mereka untuk tidak menikmati sebarang kenaikan pangkat juga tinggi.

“Dalam hal ini, satu mekanisme perlu dicari di mana kekangan kini ialah apabila kita mengikut dasar kenaikan pangkat. Jika mereka dipinjamkan (kepada SMART), kenaikan pangkat itu juga seharusnya berlaku.

“Mekanisme ini adalah satu cadangan dan saya akan mulakan perbincangan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan ketua perkhidmatan lain. Dalam hal ini panglima ATM, Ketua Polis Negara untuk kita selaraskan,” katanya.

Beliau berkata, SMART kini berada dalam kedudukan teratas sebagai pasukan penyelamat terbaik dalam kalangan negara ASEAN, lapan teratas di negara Asia Pasifik dan ke-46 di dunia.

“Memandangkan penambahan modul kursus dibuat dalam negara dan juga (perolehan) peralatan (baharu) yang sudah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, saya yakin untuk menentukan kedudukan SMART berada lebih tinggi akan dapat dicapai.

“Latihan diberi ini bukan saja dibuat dalam negara, saya dan rakan-rakan dalam NADMA serta negara yang mempunyai pengalaman teknologi dan peralatan canggih, kita cadang hantar SMART untuk dapat latihan di luar negara, khususnya Jepun dan Amerika Syarikat (AS),” tambahnya.

“Ini sesuai dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi pendedahan kepada pegawai dari negara kita untuk mendapat latihan di luar negara, dahulunya kita mengambil  pakar luar negara untuk diletakkan dalam jabatan kita, atau membayar kos untuk jururunding dengan tinggi, tetapi lebih baik kita setuju untuk hantar pegawai kita ke luar negara untuk mendapatkan latihan, sesuai dengan ‘training of trainers’,” Tambahnya.

Loading...
Terkini