comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan digesa lebih tegas terhadap warga asing kuasai industri sayur

Kebun sayur haram yang diusahakan pendatang asing di Alor Gajah, Melaka. – FOTO: Ihsan Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia

SEREMBAN: Kerajaan digesa mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap warga asing yang dikatakan menguasai industri sayur di negara ini dengan membuka anggaran 1,000 hektar kebun sayur haram di serata Semenanjung.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya perlu mengambil tindakan proaktif dengan mengenal pasti warga asing yang menjalankan kegiatan terbabit.

Katanya, ada kemungkinan warga asing berkenaan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“KDN perlu lihat perkara ini. Lakukan operasi di ladang-ladang sayur yang diusahakan mereka (warga asing) sama ada mereka ada permit kerja sah untuk kerja di ladang dan sebagainya.

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas perlu bagi mengawal kegiatan warga asing ini,” katanya ditemui selepas Majlis Iftar Ramadan bersama Jawatankuasa Pemuda UMNO Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Semalam, BH melaporkan warga Bangladesh, Indonesia dan Rohingya menguasai industri sayur di negara ini dengan membuka anggaran 1,000 hektar kebun sayur haram di serata Semenanjung.

Kegiatan itu paling banyak dikesan di Selangor, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang, terutama Cameron Highlands dengan anggaran keseluruhan kebun haram di setiap negeri antara 50 hingga 100 hektar.

Mengulas lanjut, Akmal mendakwa, di Melaka misalnya terdapat hampir 48 hektar kebun sayur yang diusahakan oleh warga asing.

“Mereka didapati menyewa tanah itu daripada rakyat tempatan dengan harga lebih tinggi sekali gus menarik perhatian rakyat tempatan,” katanya.

Mengulas kemungkinan terdapat unsur kartel dalam kegiatan berkenaan, beliau tidak menolak kemungkinan itu, namun persoalannya bagaimana orang asing yang datang ke negara ini boleh tanam sayur berpuluh-puluh hektar.

Justeru, pihaknya berharap penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas oleh KDN perlu dilakukan supaya aktiviti membabitkan warga asing ini boleh dibendung.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini