Tumpuan :
Nasional

Kerajaan digesa untuk tegas bendung budaya fitnah, hasutan di media sosial

YDPA Sultan Ibrahim di parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa bimbang dengan budaya fitnah dan hasutan secara dalam talian dan media sosial, yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan serta berpecah-belah.

Justeru titah baginda, kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya itu dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul serta dipercayai.

“Saya ingatkan kepada masyarakat sentiasa berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber, seperti penipuan kewangan secara dalam talian atau ‘scammer’ dan pencurian identiti,” titah baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Sultan Ibrahim menyambut baik usaha kerajaan bagi meningkatkan pelaburan asing berkaitan teknologi tinggi dan digital.

Pada masa sama, baginda bertitah supaya pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini dilaksanakan segera.

“Sistem perkhidmatan kerajaan juga perlu dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus.

“Ini bagi membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa serta budaya ‘red tape’ (kerenah birokrasi) yang menyusahkan urusan rakyat,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut meminta semua pihak menjayakan Kempen Melawat Malaysia 2026, yang bukan saja akan memperlihatkan keunikan budaya dan nilai murni masyarakat tempatan, malah membuka peluang ekonomi serta mengukuhkan imej negara di mata dunia.

“Semua pihak perlu berusaha menjayakan kempen ini, terutama dalam memastikan negara kita selamat dan bersih.

“Tidak ada pelancong yang hendak datang kalau negara kita kotor dan kadar jenayah yang tinggi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini