comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan fail rayuan semakan hukuman pelaku pencemaran Sungai Kim Kim

KUALA LUMPUR: Kerajaan memfailkan rayuan berhubung hukuman terhadap dua pesalah yang bertanggungjawab terhadap pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, pada tahun 2019.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan rayuan sudah dikemukakan Jabatan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru yang menjatuhkan hukuman kepada seorang pemandu lori dengan denda maksimum RM100,000.

Rayuan itu dibuat katanya berdasarkan peruntukan kesalahan yang dipertuduhkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Ketetapan untuk merayu terhadap hukuman lebih berat adalah di bawah budi bicara Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau mengulas rungutan beberapa mangsa pencemaran Sungai Kim Kim yang mendakwa hukuman yang dikenakan terhadap dalang pencemaran berkenaan tidak setara dengan penderitaan ditanggung mereka.

30 November lalu, seorang pemandu lori dilaporkan didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.

JAS dalam kenyataan memaklumkan pemandu lori, N Maridass didapati melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke sungai itu.

JAS memaklumkan syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.

Kejadian pencemaran sisa bahan kimia pada 13 Mac 2019 itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac mengejutkan negara apabila 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail (HSI).

Mengulas lanjut, Nik Nazmi memaklumkan tertuduh kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) dalam kes berkenaan mengaku bersalah dan disabitkan kesalahan serta dikenakan hukuman berdasarkan denda atau penalti yang diperuntukkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, ini kerana kesalahan dilakukan pada Mac 2019, iaitu sebelum Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) atau AKta 127 dibentangkan di Parlimen pada Oktober 2022.

“Hukuman tidak dapat dikenakan berdasarkan peruntukan pindaan dalam Akta 127 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2022 dengan denda maksimum RM10 juta kerana pindaan RUU itu tidak sempat dibentangkan di Dewan Negara susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022.

“RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) perlu dibentang semula di Parlimen untuk kelulusan,” katanya.

Untuk rekod, RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 1974, yang dibentangkan 3 Oktober itu antara lain meningkatkan penalti tidak melebihi RM10 juta bagi kesalahan termasuk menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan terjadual selain di premis ditetapkan.

RUU itu juga memperuntukkan mana-mana individu apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak melebihi lima tahun penjara dan boleh juga dikenakan denda tidak kurang RM100,000.

Selain itu, individu yang melakukan, membenarkan, mengarahkan atau menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis boleh, apabila disabitkan, didenda minimum RM25,000 atau maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Akta berkenaan menyatakan takrifan buangan adalah apa-apa benda yang ditetapkan sebagai buangan terjadual sama ada dalam bentuk pepejal, separuh pepejal, cecair, dalam bentuk gas, atau wap dilepaskan, dikeluarkan atau diletakkan yang menyebabkan pencemaran.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini