comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan jamin kaedah pelantikan sedang dirangka tidak rugikan penjawat awam baharu

 

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan kaedah pelantikan dalam perkhidmatan awam yang sedang dirangka, tidak akan merugikan penjawat awam lantikan baharu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, sistem saraan baharu itu juga akan dipastikan dapat menarik bakat terbaik negara untuk masuk dan berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

“Dalam hal ini, keperluan pindaan kepada semua peruntukan undang-undang yang berkaitan bagi tujuan kaedah baharu lantikan tetap penjawat awam, akan turut diperhalusi sewajarnya,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) sama ada kerajaan telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan secara terperinci berhubung cadangan pemansuhan skim pencen secara komprehensif serta apa implikasi yang terbabit.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak, namun ia adalah langkah sementara hingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenal bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Menjelaskan lanjut, Dr Zaliha berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk mengkaji sistem saraan baharu bagi mengoptimumkan pengambilan dan pengisian jawatan dalam perkhidmatan awam.

“Kajian ini tidak boleh ditangguh lagi memandangkan pada 2023, jumlah perbelanjaan pencen adalah sebanyak RM32.01 bilion dan dijangka mencecah RM46.36 bilion pada 2030.

“Secara purata, unjuran kenaikan jumlah bayaran pencen adalah hampir RM2 bilion setahun dan akan semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, anggota perkhidmatan awam yang telah dilantik secara tetap dan mendapat pemberian taraf berpencen, akan terus kekal menerima faedah serta kemudahan skim pencen apabila bersara kelak.
=BERNAMA=

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini