Tumpuan :
Nasional

Kerajaan jimat hampir RM1 juta kos penerbangan lawatan 5 negara

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kos penerbangan bagi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi rasmi ke lima negara baru-baru ini tidak ditanggung oleh mana-mana syarikat, sebaliknya dibiayai kerajaan dengan penjimatan lebih RM900,000.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata jumlah yang ditanggung adalah RM1.662 juta bersamaan 27% daripada jumlah keseluruhan.

“Jumlah kos penerbangan sewaan khas pesawat MAS jenis Airbus A350 jumlah kos sebanyak RM6.162 juta, yang mana kos dibiayai kerajaan Malaysia untuk delegasi rasmi berjumlah RM1.662 juta ringgit bersamaan 27% daripada kos keseluruhan.

“Manakala delegasi perniagaan membayar 73% daripada jumlah tersebut atau RM4.5 juta. Penting saya jelaskan di sini kerajaan membayar untuk penerbangan Perdana Menteri.

“Perdana Menteri tidak dibiayai oleh mana-mana syarikat tetapi ditanggung oleh kerajaan,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Jelasnya, jika menaiki penerbangan menggunakan pesawat sedia ada, kos yang perlu ditanggung kerajaan lebih tinggi.

“Yang berlaku adalah dengan sewaan khas pesawat ini pihak kerajaan mendapati ada penjimatan jika dibandingkan dengan pesawat sedia ada yang jumlah kosnya akan mencecah RM2.5 juta.

“Bermaksud ada penjimatan lebih RM900,000. Tetapi pihak kerajaan tetap mengeluarkan kos sebanyak RM1.662 juta,” ujarnya.

Manakala bagi semua urusan sama ada penginapan, makanan, transportasi dibiayai pihak kerajaan ataupun penganjur bagi acara seperti APEC dan G20.

“Jadi tidak timbul isu bahawa penginapan, makanan dan minum, penerbangan ia tidak ditanggung oleh syarikat. Syarikat-syarikat ini mempunyai niat sama ada tujuan pelaburan di negara-negara yang telah dituju itu.

“Seperti Petronas contohnya mempunyai pelaburan sehingga USD6 bilion di Brazil. Maka mereka turut serta dalam rombongan. Tapi mereka membayar tiket sendiri,” jelasnya.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini dalam laporan media menyatakan Malaysia menerima manfaat lawatan termasuk pelaburan RM12.8 bilion, pembukaan peluang pasaran baru dan pengukuhan hubungan diplomatik.

Selain itu juga terdapat perkongsian strategik dalam tenaga boleh diperbaharui, automotif serta pensijilan halal dan juga penubuhan ekosistem baharu untuk memperluas akses pasaran Malaysia di Amerika Latin dan Afrika Utara.

Loading...
Terkini