comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan jimat RM8 bilion setahun melalui subsidi bersasar elektrik

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka memperolehi penjimatan sehingga RM8 bilion setahun melalui pelaksanaan subsidi bersasar elektrik yang dilaksanakan sejak Januari lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata untuk separuh penggal pertama tahun ini kerajaan memperoleh penjimatan sebanyak RM4.1 bilion melalui pelaksanaan subsidi itu.

Katanya, kos sebenar subsidi untuk mengekalkan tarif elektrik semasa jika dilaksanakan secara menyeluruh akan mencecah RM14.9 bilion.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) beliau berkata dengan pelaksanaan subsidi bersasar ini, kerajaan hanya membiayai RM10.8 bilion saja dalam bentuk rebat kepada pelbagai lapisan pengguna domestik sekali gus menyumbang beban fiskal kepada belanjawan negara.

“Dengan pelaksanaan bersasar, sebahagian pelepasan kos-kos tidak seimbang dilepaskan kepada pengguna-pengguna voltan sederhana dan tinggi daripada kalangan pemain industri, termasuk syarikat multinasional (MNC), dengan dikenakan surcaj 20 sen/kWj.”

Tambah Datuk Seri Ahmad, pelaksanaan itu hanya membabitkan satu peratus pengguna elektrik paling tinggi, kebanyakannya MNC.

Menurut beliau, dengan penjimatan itu kerajaan boleh menyalurkan penjimatan daripada subsidi bersasar kepada industri lain yang lebih memerlukan terutama bagi bantuan rakyat dan pembangunan.

Beliau juga yakin lebih banyak penjimatan bakal dinikmati kerajaan terutama apabila subsidi bersasar dilaksanakan pada harga petrol dan diesel tahun depan.

Ketika ini kos bahan api menyumbang lebih daripada 70 peratus kepada kos penjanaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia yang mana kebanyakannya berasaskan sumber bahan api fosil arang batu dan gas.

Pada kemuncak krisis tenaga global yang bermula pada Oktober 2021, harga arang batu dan gas mencapai paras tertinggi dengan masing-masing meningkat sebanyak 83 peratus dan 11 peratus sehingga tahun ini.

Dan meskipun harganya kini sedang menurun, ia masih dua kali ganda tinggi daripada yang telah kerajaan tetapkan iaitu AS$79 setiap metrik tan (MT) di bawah tempoh kawal selia ketiga (RP3: 2022-2024).

Menurut kenyataan Datuk Seri Ahmad di parlimen pada Februari lalu, kerajaan juga mampu memperoleh penjimatan sehingga RM17 bilion sekiranya golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Loading...
Terkini