comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Johor kenal pasti 120 ‘hot spot’ banjir untuk tindakan jangka panjang

Mohd Jafni (kanan) meninjau kerja-kerja pembinaan tebatan banjir di Presint 10, Taman Setia Indah, hari ini. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengenal pasti 120 ‘hot spot’ banjir di seluruh negeri ini yang memerlukan tindakan penyelesaian jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata ‘hot spot’ berkenaan terletak dalam kawasan pentadbiran 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diminta menyelesaikan masalah itu secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun.

Dalam konteks ini, katanya, antara perkara yang perlu dilihat ialah aspek peruntukan setiap PBT berikutan pelaksanaan projek tebatan banjir menelan kos agak tinggi.

Sebagai contoh, beliau berkata, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyediakan peruntukan RM15 juta bagi tahun ini dan tahun depan untuk mengatasi masalah banjir di lebih 10 ‘hot spot’.

“Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) turut mengambil pelbagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah banjir di beberapa ‘hot spot’, dan ia memakan masa tiga atau empat tahun.

“Setiap PBT perlu memastikan pelbagai langkah yang diambil dapat mengatasi masalah banjir bagi jangka panjang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pembinaan tebatan banjir di Presint 10, Taman Setia Indah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, projek tebatan banjir di Presint 10 membabitkan peruntukan RM6.5 juta bagi pembinaan tembok setinggi dua meter (m) dan sepanjang 430m.

“Lokasi itu merupakan antara ‘hot spot’ dengan lebih 10 kali dilanda banjir dalam tempoh 10 tahun lalu sehingga menimbulkan kebimbangan ramai,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini