comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Johor puas hati pelan atasi masalah gangguan bekalan air sempena Aidilfitri

Taklimat pelan kecemasan gangguan bekalan air sempena aidilfitri oleh pengurusan SAJ Ranhill yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam.

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri berpuas hati dengan pelan kecemasan bagi menghadapi kekurangan bekalan air bermula 3 April hingga 17 April, sempena sambutan Aidilfitri yang bakal disambut dua minggu lagi.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pelan itu dibentangkan syarikat Air Johor Ranhill (SAJ-Ranhill) yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dua hari lalu.

Katanya, berdasarkan taklimat yang diberikan sekurang-kurangnya 147 lokasi di beberapa daerah di negeri itu bakal berdepan gangguan bekalan air bersih sempena musim perayaan.

“Hasil daripada pembentangan oleh SAJ, ada beberapa daerah yang kita jangka akan mengalami gangguan air khususnya menjelang Aidilfitri ini.

“Justeru kita telah menyediakan beberapa pelan mitigasi sebelum berlaku pengurangan air susulan penggunaan yang tinggi serta cuaca panas” katanya yang ditemui petang semalam.

ADUN  Bukit Pasir itu menambah, lori tangki juga telah digerakkan ke kawasan terbabit selain menyediakan tangki air statik untuk memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan air bersih sepanjang musim perayaan.

Jelasnya,  sebanyak 27 lori tangki disediakan bagi tujuan mengagihkan bekalan air selain menempatkan sebanyak 275 buah tangki statik di lokaliti terpilih di seluruh negeri itu.

“Bekalan air adalah mencukupi, kita berharap tiada perkara luar jangka berlaku seperti paip pecah. sekiranya terjadi, penghantaran air statik akan digunakan,” ujarnya lagi.

Gangguan bekalan air dan tekanan air rendah tidak dapat dielakkan kerana tahap penggunaan air meningkat melebihi kadar hari biasa terutama di kawasan taman perumahan dan kampung tradisional.

Antara kawasan yang dikenalpasti termasuklah Kempas, Permas Jaya di Johor Bahru, Bandar Bukit Gambir, sekitar Bukit Kangkar dan Bekoh di Tangkak serta Felda Bukit Permai di Kulai.

Sebelum ini badan kawal selia air Johor (BAKAJ) melaporkan paras simpanan air di tujuh buah Loji Rawatan Air (LRA) di Johor mencatat penurunan ketara dan dijangka sampai ke tahap kritikal, sekiranya cuaca panas berterusan melanda.

Tiga empangan yang mencatat penurunan ketara ialah Empangan Machap di Kluang, Empangan Gunung Ledang di Tangkak, dan Empangan Gunung Pulai 2 di Kulai.

Empangan yang turut berdepan masalah susulan cuaca panas berterusan ialah Empangan Sembrong Barat; Empangan Ayer Hitam; Empangan Machap; Empangan Congok dan Upper Layang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini