comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Johor tubuh jawatankuasa khas bendung isu hina agama

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas khusus bagi membendung aktiviti yang menyentuh isu sensitiviti kaum dan agama.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, cadangan penubuhan jawatankuasa itu akan dibentangkan pada mesyuarat mingguan Exco esok untuk kelulusan.

Katanya, antara lain jawatankuasa berkenaan akan bertanggungjawab menyediakan garis panduan kepada peniaga dan pihak industri supaya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum dan agama di negeri itu.

“Jawatankuasa berkenaan akan sediakan satu garis panduan tentang bagaimanakah sepatutnya perniagaan berlangsung dalam environment yang mesra, bukan sahaja mesra agama tetapi mesra masyarakat ini adalah dua elemen yang mesti dipatuhi pemain industri dan peniaga kita supaya dalam kita berniaga kita menjaga sensitiviti beragama bukan hanya untuk agama Islam tetapi juga mencakupi semua agama.” katanya.

Beliau ditemui selepas mengetuai operasi khas pemantauan di beberapa pasaraya termasuk pasaraya KK Super Mart, di Taman Abad Johor Bahru, petang tadi.

Lebih 50 anggota penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru menyertai operasi lebih 3 jam ini.

Jelasnya, jawatankuasa itu kelak bukan sahaja terbabit menjalankan penguatkuasaan malah akan turut mengadakan kempen kesedaran dengan pihak industri dan pengilang.

Langkah itu bertujuan memberi pendedahan dan pemahaman kepada pihak berkenaan mengenai sensitiviti agama dalam perniagaan.

Pada masa yang sama ujarnya, anggota masyarakat dan pembeli juga akan diminta menjadi mata-mata kepada jawatankuasa itu bagi membendung perbuatan yang boleh menjurus kepada menghina sesebuah agama.

Minggu lalu, tular gambar stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Super Mart selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial hingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Susulan itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai telah dipanggil memberi keterangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini