comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan kaji kesalahan jenayah seksual kanak-kanak Malaysia dilakukan individu luar negara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang menjalankan kajian sewajarnya bagi meluaskan skop perlindungan undang-undang bagi merangkumi kesalahan dilakukan individu terhadap kanak-kanak Malaysia di luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu memandangkan jenayah eksploitasi seksual dalam talian terhadap kanak-kanak adalah isu yang merentasi sempadan.

“Perkembangan undang-undang ini bertujuan untuk memberikan perlindungan yang lebih baik kepada mangsa kanak-kanak yang berwarganegara Malaysia tanpa mengira lokasi geografi pelaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mengikut seksyen 3 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792], mana-mana warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan terhadap seorang kanak-kanak di luar Malaysia boleh dianggap sebagai melakukan kesalahan tersebut di dalam Malaysia.

Ujar beliau, peruntukan itu membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan sedemikian di luar negara.

Mengulas lanjut, menurut Azalina, di bawah Akta 792, kesalahan berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (Child Sexual Abuse Material, CSAM) dalam talian melibatkan enam kategori kesalahan dengan hukuman tempoh pemenjaraaan selama lima tahun hingga 30 tahun serta sebatan.

Selain itu, Akta 792 memperuntukkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dalam talian yang lain termasuk pengantunan kanak-kanak (child grooming), berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak dan menyebabkan kanak-kanak memerhati atau mendengar bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.

Pada tahun lalu, dua pindaan baharu diluluskan untuk memerangi jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian iaitu seksyen 15A Akta 792 memperuntukkan kesalahan yang berkaitan dengan persembahan seksual oleh kanak-kanak.

Manakala seksyen 15B memperuntukkan kesalahan yang berkaitan dengan pemerasan seksual kanak-kanak.

“Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan akan terus bekerjasama rapat dengan rakan sejawat antarabangsa dalam usaha global untuk menangani jenayah yang keji ini.

“Perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi seksual dalam talian adalah tanggungjawab bersama dan Malaysia akan terus bekerja bersama komuniti global untuk mengatasi isu ini dengan berkesan,” katanya.

Loading...
Terkini