comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Kelantan, Sabah setuju bekerjasama Kerajaan Persekutuan tangani isu air

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sabah dan Kelantan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi menangani isu air di kedua-dua negeri berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui hasil mesyuarat khas beliau bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan satu pasukan khas akan ditubuhkan membabitkan beberapa kementerian serta kedua-dua Kerajaan Negeri berkenaan.

“Pagi tadi saya adakan mesyuarat khas, saya undang Menteri Besar Kelantan, Ketua Menteri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai untuk selesaikan masalah air. Beberapa tindakan segera yang pertama ada isu mendesak iaitu bekalan air tak sampai atau bekalan air tak bersih, itu perlu langkah awal dan kita akan sediakan sedikit dana. Tapi tentu projek ini memerlukan projek yang besar jangka panjang dan sederhana.

Negeri Kelantan umpamanya mengemukakan beberapa angka, saya tak putuskan persetujuan kerana saya minta dibincang dalam pasukan petugas khas untuk meneliti secara tepat apa keperluan dan ada syarat umpamanya pengurusan dan juga ketelusan beberapa pelaksanaan projek,” katanya yang ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam (PPAM) MADANI Dalur di Presint 18, di sini hari ini.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu akan dianggotai Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

Ujarnya, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan rakyat memperolehi kemudahan air bersih sesegera mungkin.

Ditanya antara perkara dibangkitkan Kerajaan Negeri Sabah semasa mesyuarat itu, Datuk Seri Anwar berkata mereka mengemukakan cadangan keperluan pinjaman kadar rendah (soft loan) bagi meneruskan antara satu projek empangan di negeri tersebut.

“Saya beritahu kita akan melihat perkara ini dengan kementerian berkaitan. Namun dari segi kemajuan projek, ia boleh diterima.
Masalah air di Kelantan lebih serius kerana keperluan kewangan yang besar. Saya beritahu kita tidak akan menghentikan apa-apa (projek) tetapi kita akan memastikan ia lebih telus dan pengurusan air lebih cekap.

“Mereka mesti boleh bekerjasama dan menerima keputusan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Tiada persoalan untuk bekerja bersendirian. Kita memerlukan dana yang besar untuk pastikan penyaluran air bersih,” katanya.

Tambah Datuk Seri Anwar, Kerajaan Negeri Kelantan memohon dana sebanyak RM8 bilion bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar berkata, beliau belum bersetuju dan akan meneliti beberapa peringkat serta keperluan.

“Mereka (Kelantan) tidak mempunyai bekalan rizab air, tetapi mereka memohon 100 peratus keperluan itu. Namun kita melihat tiada keperluan sebanyak itu.

“Saya perlu melihat laporan pasukan petugas khas itu. Saya beri mereka beberapa minggu untuk mengemukakan strategi segera (bagi menyelesaikan isu air),” katanya.

Loading...
Terkini