comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan komited bangun industri sawit

Oleh : Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PUTRAJAYA: Kerajaan komited membangunkan industri sawit termasuk melalui pengumpulan minyak masak terpakai sebagai sumber pendapatan tambahan isi rumah.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, biarpun berdepan pelbagai cabaran, matlamat itu hanya dapat dicapai melalui kerjasama dan tindakan bersama semua pihak daripada pembekal, pemain industri, pengguna, kerajaan sehingga ke syarikat petroleum seperti PETRONAS.

“Untuk makluman semua, pengumpulan minyak masak terpakai ini bukan sahaja semata-mata bagi menguruskan sisa ini dengan baik tetapi juga bagi mengembangkan potensi pemprosesan semula minyak masak terpakai kepada biobahan api penerbangan.

“Program pengumpulan minyak masak terpakai ini juga menjadi langkah proaktif PETRONAS sebagai persediaan untuk mengkomersialkan biobahan api penerbangan yang lestari (SAF) bagi memenuhi tuntutan ‘Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation’ (CORSIA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Stesen PETRONAS, di stesen PETRONAS Putrajaya, Presint 9, hari ini.

Fadillah berkata, program terbabit merupakan
usaha sama antara PETRONAS dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga alam sekitar dan pada masa sama berupaya menjana pendapatan tambahan isi rumah.

Katanya, ia turut berupaya mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari, bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG).

“Sebagai kerajaan yang prihatin, kami sentiasa berusaha membantu pengusaha dan pekebun kecil untuk meningkatkan produktiviti mereka, selain menyediakan platform kepada mereka meneroka peluang dalam sektor hiliran.

“Atas dasar inilah, KPK bersama-sama PETRONAS melaksanakan inisiatif untuk mengumpul minyak masak terpakai dan
menjadikannya sebagai sumber bahan mentah utama untuk menghasilkan SAF,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh rakyat untuk menjadikan amalan kitar semula minyak masak terpakai sebagai langkah bijak dalam menguruskan sisa yang sebenarnya berupaya diproses semula menjadi produk baharu bernilai tinggi dan seterusnya membuka peluang kepada penjanaan pendapatan tambahan kepada isi rumah.

Sebagai permulaan, pusat pengumpulan minyak masak terpakai ini akan bermula di Stesen PETRONAS 1, Presint 9, Putrajaya; Stesen
PETRONAS Subang Bestari dan Stesen PETRONAS Kota Kemuning 1, Shah Alam.

Pusat pengumpulan ini seterusnya akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat ke stesen-stesen PETRONAS yang terpilih.

Justeru kata Fadillah, orang ramai yang mempunyai sisa minyak masak terpakai, boleh mengumpulkannya dan membawanya ke stesen minyak berkenaan untuk
menjualnya.

Minyak masak terpakai terbabit kemudian akan ditimbang dengan setiap penjualan akan dibayar melalui mata kredit yang dimasukkan menerusi aplikasi SETEL.

Mata kredit berkenaan kemudiannya boleh ditebus untuk sebarang pembelian di Stesen PETRONAS atau mana-mana Kedai Mesra.

Loading...
Terkini