comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan komited mudahkan pertumbuhan industri kenderaan elektrik

 

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan komited memudahkan pertumbuhan industri kenderaan elektrik (EV) dan penggunaan teknologi hijau yang lebih meluas.

Jelasnya ia sejajar dengan matlamat kerajaan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024, iaitu mempercepatkan penerimaan meluas kenderaan elektrik dan menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam pelbagai sektor.

“Peralihan ini bukan sahaja membawa kepada penjimatan bahan api dan gas tetapi juga mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kita dengan ketara, memperjuangkan kemampanan dalam aktiviti harian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kenderaan Elektrik Weststar Maxus MIFA 9, di ibu negara hari ini.

Menurutnya dedikasi kerajaan  bukan sahaja kepada agenda iklim sedunia malah turut memberi peranan kepada kesihatan dan keselamatan rakyatnya.

Tambahnya EV juga menjanjikan untuk menangani perubahan iklim kerana industri automotif menyumbang kira-kira satu perlima daripada pelepasan global.

“Memandangkan pergantungan berterusan kita terhadap bahan api import dan turun naik yang tidak menentu dalam harga minyak global, maka wajar untuk kita mempromosikan peralihan kepada EV,” ujarnya.

Pada majlis itu, hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri  Mohamad Hasan.

Anwar turut menyeru kerajaan, pemain industri, dan orang ramai bekerjasama membentuk Malaysia yang lebih bersih dan mampan untuk generasi akan datang.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini